sila klik ya

2010/03/14

SEKS DALAM TANDAS AWAM

Iklan berahi di pintu tandas

SEREMBAN: Kegiatan menconteng tandas awam dengan pelbagai perkataan termasuk nombor telefon perkhidmatan seks bukan sesuatu yang asing apabila kebanyakan premis berkenaan di daerah ini menjadi sasaran mereka yang tidak bertanggungjawab.
Kebiasaannya kemudahan awam itu yang menjadi sasaran ialah di stesen minyak apabila terdapat pelbagai nombor telefon kononnya untuk perkhidmatan seks diconteng dan ditampal sesuka hati.


Kegiatan vandalisme berkenaan dipercayai dilakukan segelintir pihak yang cuba mengenakan orang lain atau sengaja melepaskan geram terhadap seseorang.


Tinjauan Metroplus di beberapa stesen minyak di sini, mendapati hampir semua menjadi sasaran contengan pelbagai perkataan atau gambar tidak senonoh.


Terdapat juga stesen minyak yang kelihatan baru mengecat semula pintu tandas mereka kerana banyak contengan terutama tawaran perkhidmatan seks sehingga mengotorkan premis mereka dan mengganggu pengguna.


Malah, tinjauan mendapati terdapat satu nombor telefon bimbit sama ditulis di beberapa stesen minyak yang menawarkan perkhidmatan seks melalui khidmat SMS.

Pekerja stesen minyak, Zaharah Othman, 36, berkata sebelum ini tiada contengan sedemikian, tetapi kini semakin banyak tangan nakal meletakkan nombor telefon bimbit tertentu untuk menarik perhatian orang ramai.


“Mereka dipercayai menconteng tandas ketika tengah malam kerana orang ramai kurang menggunakannya pada waktu berkenaan.


“Kami sudah banyak kali mengecat semula tandas yang diconteng itu dan ia memerlukan kos baik pulih kira-kira RM30 setiap kali dicat,” katanya.


Dakwanya, walaupun terdapat notis larangan menconteng diletakkan, ia tidak diendahkan pihak tidak bertanggungjawab dan berharap mereka menghentikan perbuatan vandalisme di tempat awam kerana ia boleh mencemarkan imej terutama di kalangan pengunjung luar.


Pekerja stesen minyak di Senawang, Zakaria Ahmad, 21, berkata kebanyakan nombor telefon bimbit perkhidmatan seks yang ditulis di pintu tandas bertujuan untuk memperdayakan orang ramai untuk menelefon mereka.


“Saya tidak pasti sama ada nombor telefon bimbit yang diconteng di pintu tandas benar kerana kemungkinan besar ia dilakukan segelintir remaja yang suka melakukan perbuatan vandalisme termasuk dalam kenderaan awam.


“Saya tidak tahu sama ada nombor yang tertera itu boleh dihubungi atau sebaliknya, tetapi ia perbuatan tidak baik dan menggambarkan mereka yang berfikiran kotor,” katanya.


Mengulas perkara berkenaan, Ketua Perhubungan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Cawangan Negeri Sembilan, Mohd Fadil Baharuddin, berkata kegiatan tidak sihat itu dipercayai dilakukan mereka yang rosak minda.


Beliau berkata, mereka bukan saja sudah rosak akhlaknya, malah mempunyai perangai yang boleh menjejaskan kepentingan masyarakat.


“Kami percaya kebanyakan mereka yang melakukan kegiatan itu dari kalangan yang ‘gila seks’ berdasarkan perkataan yang ditulis pada dinding tandas.

“Ini antara nilai moral yang rendah dimiliki kebanyakan golongan muda, namun saya percaya tidak semua kegiatan itu dilakukan penduduk tempatan, tetapi turut membabitkan warga asing berdasarkan kegiatan sama yang dilakukan mereka di rumah kongsi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NYATAKAN SEMUA KEBENARAN WALAUPUN PAHIT,ANDA DIBERIKAN PELUANG MELUAHKAN PERASAAN ANDA DISINI SILAHKAN!!!

tolong klik