KUALA LUMPUR: Sebanyak 27,293 permohonan taraf kewarganegaraan
Malaysia telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dari tahun 2008
hingga Ogos 2011.
Demikian jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di dewan rakyat hari ini.
Namun, Kementerian Dalam Negeri tidak menyatakan jumlah kelulusan
permohonan kewarganegaraan baru sejak 2008 mengikut kawasan Parlimen,
seperti yang dituntut dalam soalan.
Jawapan berkenaan sangat mengejutkan ekoran Pakatan Rakyat sebelum
ini menimbulkan isu pemberian kerakyatan kepada warga asing, termasuk
warganegara Indonesia dan Bangladesh bagi tujuan mengundi Umno-Barisan
Nasional.
Ia termasuk isu penduduk tetap (PR) yang mendaftar sebagai pengundi
sebelum didedahkan mendapat taraf warganegara daripada Jabatan
Imigresen, sepertimana kes yang berlaku terhadap seorang pengundi
bernama Mismah.
Laman web Biro Hal Ehwal NGO pejabat Perdana Menteri Bangladesh
Sheikh Hasina pada September lalu pula menyiarkan laporan yang mendakwa
pekerja Bangladesh di Malaysia diberi warganegara mudah dengan syarat
mengundi parti pemerintah di Malaysia.
Bagaimanapun artikel kontroversi berkenaan dikeluarkan dari laman itu
dalam tempoh 24 jam selepas disiarkan, manakala Pejabat Suruhanjaya
Tinggi Bangladesh turut menafikan dakwaan berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Jariah Mohd Said
pula dalam satu kenyataan media berkata, hanya 37 rakyat Bangladesh yang
diberikan kerakyatan Malaysia sejak 1998 sehingga Ogos tahun lalu.
Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein
membidas portal Malaysiakini berhubung dua laporan berita mengenai
pemberian kewarganegaraan Malaysia.
0 komentar:
Catat Ulasan
NYATAKAN SEMUA KEBENARAN WALAUPUN PAHIT,ANDA DIBERIKAN PELUANG MELUAHKAN PERASAAN ANDA DISINI SILAHKAN!!!