Anehnya laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut kerajaan Kelantan
diberi RM19 juta bagi melaksanakan projek Rumah Awam Kos Rendah (RAKR),
namun peruntukan itu tidak ada di Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha
Kerajaan Negeri.
Malah sejak Rancangan Malaysia Ke-Enam (RMK-6) sehingga sekarang Kelantan tidak diberi peruntukan bagi membina projek RAKR.
Ini dibuktikan sejak RMK-6 sehingga RMK-9 sebanyak RM91.6 juta yang
sepatutnya diberi kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek
tersebut langsung tidak diterima.
Peruntukan terbabit iaitu bagi RMK-6 sebanyak RM25 juta, RMK-7 (RM24 juta), RMK-8 (RM34.6 juta) dan RMK-9 (RM8 juta).
Namun, tiba-tiba dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut
Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku badan
pelaksana menerima peruntukan RM19 juta di bawah RMK-9, tetapi semakan
audit mendapati kerajaan negeri tidak membina rumah seperti dirancang.
Sumber kerajaan negeri menjelaskan tiada sebarang peruntukan diterima
daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan projek RAKR di Kelantan
seperti mana disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010.
Pendedahan mengenai pembekuan peruntukan projek RAKR oleh kerajaan
pusat sudah acap kali dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan
Negeri.
Namun ia tidak mendapat respon wakil rakyat Barisan Nasional dan kerajaan persekutuan.
Bagaimana pun ekoran halangan tersebut menyebabkan kerajaan negeri
dengan kerjasama pemaju swasta membina projek RAKR sejak 1990 sehingga
sekarang dalam skala lebih kecil.
Peruntukan sebanyak RM3 juta disediakan setiap tahun dalam tempoh
tersebut bagi melaksanakan projek berkenaan untuk kepentingan rakyat
berpendapatan rendah.
Antaranya RAKR Kampung Dangar II, RAKR Bunut Susu, RAKR Gua Musang
II, RAKR Gua Musang Tambahan, RAKR Sungai Ketil, RAKR Semut Api fasa II,
RAKR Gunong, RAKR Jeli, RAKR Gaal dan rumah transit di Panji.
RAKR tersebut dijual pada harga RM28,000 hingga RM55,000 seunit.
Manakala rumah transit di Panji dibina pada 2006 sebanyak 100 unit
diberi sewa sebanyak RM100 sebulan kepada penduduk miskin, armalah dan
penduduk yang terbabit projek pembangunan di Jalan Hamzah.
Selain itu kerajaan negeri juga membina rumah mampu milik berharga RM35,000 hingga RM45,000 sebanyak 30 unit di Labok, Machang.
Kerajaan negeri juga melaksanakan polisi setiap projek perumahan yang
dibina di Kelantan dipastikan mengandungi 30 peratus rumah kos rendah.
0 komentar:
Catat Ulasan
NYATAKAN SEMUA KEBENARAN WALAUPUN PAHIT,ANDA DIBERIKAN PELUANG MELUAHKAN PERASAAN ANDA DISINI SILAHKAN!!!