Kerajaan BN didesak menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat dengan
terperinci warga negara asing turut didaftarkan sebagai pemilih dalam
pilihanraya di negara ini.
Tindakan tersebut dikesan dilakukan
dengan terancang oleh pihak-pihak tertentu sehingga menjadikan negara
ini berada dalam bahaya apabila masa depan negara berada dalam tangan
warganegara asing.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub
berkata, tindakan tersebut amat dikesali kerana ia jelas memperlihatkan
sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak terbabit terhadap negara.
Menurut
beliau, tindakan tersebut dilakukan oleh pihak-pihak terbabit bagi
mencapai kemenangan dalam pillihanraya untuk terus kekal berkuasa demi
keuntungan dalam jangka masa pendek mereka.
Katanya, sebagai
warganegara, tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan, sebaliknya
masing-masing mestilah berfikir dan bertindak secara rasional untuk
jangka masa panjang demi keselamatan negara.
"Untuk mengatasi
masalah itu, perlu ada satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat sepenuhnya
tentang warganegara asing yang turut didaftarkan sebagai pemilih,"
katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ketika berucap
membahaskan usul penambahbaikan proses pilihanraya yang dikemukakan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (PSC), Datuk Seri
Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, beliau berkata, penyata yang
dikemukakan oleh jawatankuasa itu perlu diterima oleh kerajaan.
Menurutnya,
dalam penyata jawatankuasa itu dicadangkan penggunaan dakwat kekal
dalam pilihanraya, manakala cadangan itu pula menepati salah satu dari 8
tuntutan Bersih untuk dilaksanakan oleh SPR.
"Cadangan itu jelas
menafikan kenyataan SPR dan Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan
penggunaan dakwat kekal sebagai kolot dan tidak sesuai dilaksanakan
dalam pilihanraya," katanya yang juga Naib Prtesiden PAS.
Sejajar dengan perkembangan masa, beliau turut mendesak kerajaan menerima sistem dua parti untuk dilaksanakan di negara ini.
Beliau
juga mendesak kerajaan mengamalkan kebebasan media di negara ini bagi
kepentingan rakyat, setelah Kerajaan BN sekian lama membelenggu
pemikiran orang ramai dengan ketidakadilannya terhadap laporan-laporan
media.
"Suara generasi muda mesti didengar oleh kerajaan. Kita
harap media dalam pilihanraya umum ini bebas dan tidak lagi dibelenggu
dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh kerajaan," tambahnya.
PAS
dan Pakatan Rakyat, tegasnya, boleh menerima kekalahan dalam
pilihanraya sekiranya itulah yang dipilih oleh rakyat, dengan syarat
kerajaan tidak menyekat kebebasan media dan pilihanraya dilaksanakan
dengan bersih dan adil.
Beliau menyarankan kerajaan turut
mencontohi sebahagian langkah yang telah dilakukan oleh kerajaan
Singapura berhubung perkara itu, sehingga menjadikan pilihanraya terbaru
di republik itu lebih baik berbanding sebelumnya.
0 komentar:
Catat Ulasan
NYATAKAN SEMUA KEBENARAN WALAUPUN PAHIT,ANDA DIBERIKAN PELUANG MELUAHKAN PERASAAN ANDA DISINI SILAHKAN!!!