Noraziah Nor, 29, isteri kepada anggota komando Insp Zulkifli Mamat, 30,
tidak dapat menahan sebak dan pengsan sejurus menerima berita kematian
suaminya.
"Nak balik, Azi nak balik, tolong bawa Azi balik,
tolonglah sesiapa hantar Azi balik...," begitulah rintihan Noraziah yang
dilihat tidak berhenti-henti menangis ketika ditemui di kediaman bapa
angkat pasangan itu di Bandar Baru Putra, Bercham di Ipoh.
Noraziah
yang merupakan guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan terpaksa
dipimpin beberapa jiran dan anggota keluarga kerana pengsan sebelum
dihantar ke klinik berhampiran.
Pasangan yang menetap di
Bandar Baru Putra, Bercham itu mempunyai dua cahaya mata iaitu Mohammad
Akmaluddin, 5, dan Mohammad Akhil, setahun dan Noraziah kini mengandung
anak ketiga.
Zulkifli, adalah antara dua anggota komando yang
terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh
bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah
hari ini.
Sementara itu, bapa angkat pasangan itu, Sjn
Hussain Harun, 53, yang merupakan jurulatih pusat latihan Pasukan
Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta berkata beliau menerima berita itu selepas
solat Jumaat sebaik sahaja Noraziah datang ke rumahnya.
"Saya cukup terkejut apabila mengetahui berita ini dan Aziah terus pengsan sebaik memberitahu kami.
"Saya
mengenali arwah pada tahun 2004 semasa dia menyertai Kor Sukarelawan
Polis Siswa Siswi (Suksis) UUM dan saya merupakan pengajar untuk pandu
arah peta," katanya sambil memberitahu kali terakhir beliau bertemu
arwah ialah minggu lepas sebelum bertolak ke Lahad Datu.
Ibu angkat Allahyarham Noor Ainita Mohamad, 49, berkata Allahyarham seorang yang baik hati dan peramah.
"Arwah
memang rapat dengan suami saya... sekiranya ada masalah arwah akan
datang rumah dan cerita masalah dia pada kami. Kehilangannya sangat
dirasai,"
katanya.
- Bernama
nak wat guano..dah keje dia macam gitu...menembak dan ditembak..itu le keje soja/poleh..kalau tak dia nembak penjenayah..penjenayah tembak dia..dari Allah kita mari ..kepada Allah kite gi..
BalasPadamAl fatihah..