Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy berkata beliau dan Hindraf mampu
menyelesaikan isu kerakyatan kaum India di negara ini dalam tempoh lima
tahun.
Waythamoorthy yang dilantik sebagai timbalan menteri di
Jabatan Perdana Menteri, berkata janji pembangkang untuk menyelesaikan
masalah yang sama dalam tempoh 100 hari mereka berkuasa adalah
mengelirukan.
"(Ketua Umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata
beliau akan menyelesaikan semua isu kerakyatan yang belum selesai di
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh 100 hari. Itulah 20,000
sahaja," katanya.
"Tetapi beliau tidak bercakap mengenai 280,000
lagi kaum India tanpa kerakyatan yang didakwa oleh naib presiden beliau
sendiri N Surendran," katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Waythamoorthy
berkata, Hindraf sudah mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan isu
kerakyatan secara kekal, tetapi dia tidak mendedahkan apakah mekanisme
itu.