2010/04/01

PERKASA DAN UMNO:PUNYA PERMAINAN?

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
KUALA LUMPUR, 1 April — Datuk Seri Nazri Aziz membidas Perkasa sebagai oportunis politik ekoran tindakan badan bukan kerajaan itu yang mendakwa pembentukan Suruhanjaya Peluang Seimbang Peluang (EOC) bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
EOC merupakan satu mekanisme di bawah Model Ekonomi Baru (MEB) yang laporan pertamanya diumumkan kerajaan kelmarin.
Bagaimanapun pada sidang media semalam Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali berpendapat ia bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana ia akan memberi peluang saksama bagi setiap rakyat Malaysia.
Ibrahim berkata suruhanjaya itu jelas menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai peluang yang sama dan ia bertentangan dengan Perkasa 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak keistimewaan dan melindungi kepentingan orang Melayu dan penduduk asal.
Sehubungan itu Ibrahim berkata, Perkasa mengambil serius cadangan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) yang ingin menubuhkan EOC bagi memastikan tidak wujud diskriminasi dan ketidakadilan.
Sehubungan itu beliau meminta kerajaan memastikan MEB berada di landasan tindakan polisi afirmatif atau kerajaan akan kehilangan sokongan daripada rakyat pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun Nazri (kanan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan, Perkara 153 tidak terjejas kerana EOC tertakluk kepada rangka kerja perlembagaan.
“Anda boleh ada Suruhanjaya Peluang Seimbang dengan tertakluk kepada perlembagaan.
“Peluang saksama seharusnya tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dalam perlembagaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Kata beliau, Suruhanjaya Peluang Seimbang tidak boleh memutuskan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan.
“Mereka boleh membuat keputusan, tetapi selagi ia tidak bertentangan dengan perlembagaan okey,” katanya.
Ibrahim (kiri) yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengulangi bahawa Perkasa tiada masalah dengan NEM tetapi akan berjuang habis-habisan jika EOC tidak bertindak selaras dengan peruntukan perlembagaan.
Nazri menjelaskan pembentukan EOC tidak bertentangan dengan perlembagaan dan keputusan-keputusan dibuat oleh badan itu akan dipantau.
Suruhanjaya itu dibentuk untuk menangani masalah diskriminasi dan amalan tidak sihat.
Perkasa dan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang dianggotai lebih 80 badan bukan kerajaan termasuk Perkasa sendiri mendesak kerajaan memastikan MEB tidak mengabaikan agenda Melayu.
Bagaimanapun Nazri berhujah jika Perkasa menentang peluang seimbang ia juga seharusnya telah mengecam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
“Bagaimana ia boleh menjadi seimbang apabila DEB mengatakan bahawa hak Bumiputera hanya 30 peratus?
“Jadi 70 peratus adalah untuk bukan Bumiputera tetapi mengapa anda tidak membuat bising.
“Jika anda mahu terlalu berkira, maka DEB seharusnya sudah dimansuhkan kerana ia hanya memberikan 30 peratus kepada Bumiputera dan 70 peratus kepada bukan Bumiputera,” katanya.
Beliau menambah  Perkasa menggunakan EOC kerana kepentingan politik.
“Saya merasakan ia satu andaian tidak berasas dan oportunisme politik berhubung satu isu yang sebenarnya tidak wujud,” katanya.

CILAKA PUNYA ANWAR:RASUAH ZAMBRY DENGAN JAWATAN MB? BIAR BETULNI..

 Zambry Dedah Tawaran Jadi MB Jika Lompat Parti Selepas PRU Ke-12

IPOH: Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini mendedahkan tawaran oleh "seorang pemimpin hebat pembangkang" untuk beliau menjadi Menteri Besar Perak jika sanggup melompat parti selepas Barisan Nasional kalah di negeri itu pada pilihan raya umum ke-12.

Katanya, beliau adalah calon pertama bagi jawatan Menteri Besar Perak dan bukannya anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pasir Panjang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas apabila pakatan DAP-Pas-PKR mahu menubuhkan kerajaan negeri.

Ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih bagi titah ucapan perasmian Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak hari ini, Zambry berkata beliau telah dihubungi melalui panggilan telefon oleh "tokoh hebat" berkenaan yang kemudiannya diikuti rombongan dan utusan yang datang ke rumahnya.

"Saya menolak tawaran itu kerana berpegang kepada prinsip perjuangan," katanya ketika menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Tajol Rosli (BN-Pengkalan Hulu) bahawa tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno ditawar jawatan Menteri Besar sekiranya melompat parti.

Tajol Rosli semasa membahaskan usul itu berkata beliau tidak berhak untuk mendedahkan siapa ketiga-tiga ADUN yang dimaksudkan itu kerana terpulang kepada mereka untuk berbuat demikian.

Jamaluddin Mohd Radzi (Bebas-Behrang) pula berkata beliau yakin pemimpin yang dimaksudkan oleh Zambry itu adalah penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya tawaran itu diketahui oleh ramai pemimpin PKR Perak tetapi ia dirahsiakan daripadanya kerana beliau ketika itu adalah juga seorang daripada calon Menteri Besar.

"Anwar berdolak dalik kerana dia ada memanggil (telefon) saya dan menyatakan saya sesuai menjadi Menteri Besar tetapi dalam masa sama membuat tawaran jawatan itu kepada orang lain," kata Jamaluddin, yang ketika itu Bendahari PKR Perak.

Zambry sebelum mengakhiri penggulungan itu telah menawarkan perdamaian kepada pembangkang.

"Dengan suci hati, saya ingin meniup wisel perdamaian... jawatan MB boleh datang dan pergi tetapi perdamaian yang abadi adalah demi rakyat," katanya.

Perjalanan sidang DUN hari ini dicemari dengan tindakan kesemua 28 ADUN pembangkang keluar dewan dengan alasan tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat yang dikendalikan oleh Speaker Datuk R.Ganesan.

Zambry menyifatkan tindakan keterlaluan pembangkang pada persidangan hari ini seperti tidak mengemukakan soalan ketika sesi soal jawab lisan, tidak menghormati Speaker, menjerit-jerit, menyeberangi kawasan dan mengganggu Adun BN serta menayangkan kertas dengan perkataan 'penyamun', 'perompak' dan 'pencuri', akan perbuatan yang mengkhianati amanah rakyat dan ini akan dinilai sendiri oleh rakyat.

"Inikah ini moral dan akhlak pembangkang yang baik?" katanya.

Mengenai cadangan seorang penyokong kerajaan supaya DUN mengusulkan supaya gelaran kepada Mohammad dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) ditarik balik kerana sikap biadap mereka, Zambry berkata itu adalah hak Istana Perak.

Persidangan yang berakhir hari ini meluluskan usul pindaan Enakmen Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak selain usul pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri, Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap Negeri, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Negeri serta usul pembelian saham terbitan bernilai RM5.6juta berharga RM1.12 seunit yang ditawarkan oleh Kumpulan Axiata.

Persidangan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. - BERNAMA